Monday, August 17, 2015

Masa duduk di ladang estet masa zaman kecil dulu, rumah kami dibekalkan pembantu rumah yang membersih luar halaman dan mengemas setiap hari walau emak seorang surirumah.

Auntie Wali. Wanita India yang rajin peramah dan paling pembersih. longkang kami tak pernah bersampah, apatah lagi kelihatan jentik-jentik. seharian dengan emak menolong kemas itu ini, bersembang gelak ketawa, bercucuk tanam, penaman emak kala seorang di rumah. sampailah ke makan minum tak pernah lupa dijamu emak.

Hari raya dan  Deepavali saling kunjung mengunjung. bertukar juadah. kehidupan kami di estet tidak memandang kasta. Semua kawan baik emak.Walau dulu kami juga pernah berjiran dengan penembak babi hutan. Uncle Bala. Sebelum dia bawa pulang babi hutan hasil memburu, dia akan beritahu akan bawa balik si babi dalam waktu-waktu tertentu. dia maklum dahulu, hormati jiran beragama Islam. ah puas sudah aku tengok babi hutan masa kecil.

Sehinggalah kami berpindah keluar dari kawasan pedalaman yang lebih kurang puluh tahun emak dan arwah babah menghuni. Diketemukan kembali dengan Auntie Wali selepas 7 tahun terpisah. gembira bukan main kepalang si emak bila dapat tahu Auntie Wali pencen dan kebetulan  beli rumah berdekatan dengan kami. Auntie Wali pencen dan kurang sihat. Suami kaki botol. Harapkan duit Socso tiap bulan buat sara keluarga. Sedih pula aku dengar rintahan dia masa mula-mula jumpa semula.

Emak cuba tolong auntie. aku minta dia kemas rumah  bersihkan rumah emak sebulan sekali atau tiap 2 minggu sekali. tengok pada keadaan kesihatan dia. Harap cukuplah lepas sikit beban belanja dia sekeluarga.

Tahun ini,seperti sebelum- sebelum Hari Raya tiba Auntie Walilah harapan aku menlong emak menyiap semua menghias rumah bagai. Tapi kali ini dia tak dapat kemaskan rumah tak sihat akibat penyakit tiga serangkai dan baru-baru ini kena serangan jantung pula. dia hantar wakil anak menantu yang serupa rajin sama, Bersih.

Hari Raya tiba. Dan seperti kebiasaan jemputan buat Auntie Wali sekluarga. Awal pagi emak sudah menyiap semua makanan. menelefon anak menantu berjanji pukul 11 pagi sebelum makan tengahari.
sehingga jam 1 dia menunggu.Auntie Wali tak kunjung tiba. Panggilan dijawab anak menantu,

"Makcik maafkan saya tak dapat datang emak baru meninggal."

Meraung emak. aku terkedu emak menangis menatap juadah raya buat rakan baik dia yang berlainan bangsa.  Dalam bulan syawal yang mulia, emak menangis untuk kawan baik yang bukan bangsanya sendiri dan pergi memberi penghormatan terakhir melihat auntie wali. 2 hari emak murung.

aku coretkan perihal emak dan Auntie Wali untuk aku dan juga anak-anak aku atau untuk kamu kerna mungkin dalam masa 5 atau 10 tahun lagi  kita masih ada lagi perasaan sayang menyayangi sesama kita walau berlainan bangsa atau masih peduli lagi.

Entah perpaduan wujud lagi atau tidak.